Ahlan Wa Sahlan

Kempen ABJZ merupakan satu usaha dalam menyantuni masyarakat ke arah pembinaan individu yang Soleh wa Musleh. Oleh itu, dalam usaha menjadi agen merubah masyarakat, blog ini menjadi medium maya yang menyediakan maklumat semasa berkenaan kempen ABJZ bagi menyuntik kesedaran sivik di dalam masyarakat ke arah melahirkan ummat yang berpaksikan Islam selari dengan motto kempen iaitu Amar Ma'ruf Nahi Mungkar.


OBJEKTIF KEMPEN

1. Memberi pendedahan dengan lebih mendalam tentang punca dan perkara-perkara yang membawa seseorang itu terjebak dengan gejala zina.

2. Mengendalikan satu program untuk generasi muda bagi membina jati diri seterusnya boleh dijadikan bagi remaja untuk panduanmembentengi diri daripada terlibat dengan gejala sosial khususnya zina .

3. Menyedarkan peserta tentang bahaya zina dunia dan akhirat.

4. Memupuk kesedaran dalam ahli masyarakat, agensi kerajaan, agensi swasta dan gabungan NGO untuk sama-sama berganding bahu mencegah kemungkaran (zina) kerana


Firman Allah SWT

SOAL JAWAB

Soalan : Takkan nak berbual-bual pun tak boleh ? Itu zina juga ke ?

Jawapan : Zina ada bermacam-macam jenis dan peringkatnya.Ada zina tangan(berpegang-pegangan),ada zina mata(melihat kekasihnya dengan perasaan berahi).Melihat auratnya juga zina mata.Zina hati iaitu khayalan berahi dengan kekasih sepertimana yang dinyatakan oleh Rasulullah : Kedua-dua tangan juga berzina dan zinanya adalah menyentuh.Kedua kakinya juga berzina dan zinanya adalah berjalan(menuju ke tempat pertemuan).Mulut juga berzina dan zinanya ialah ciuman.

(Riwayat Muslim dan Abu Daud) Sebenarnya jalan dan lorong menuju kepada perzinaan amat banyak.Jangan biarkan diri kita berada atau melalui mana-mana jalan atau lorong yang boleh membawa kepada penzinaan.

Soalan : Apakah hukum memberi salam antara lelaki & perempuan.

Jawapan : Jawapannya ada dalam buku teks syariah tingkatan 4.

Jawapannya ada dalam buku teks syariah tingkatan 4.

No 1- Salam seorang lelaki kepada seorang perempuan atau sebaliknya yang tidak mempunyai hubungan mahram adalah tidak disunatkan kecuali dalam keadaan yang aman dari fitnah. Harus memberi dan menjawab salam perempuan untuk tujuan pendidikan seperti pelajar kepada gurunya.

No. 2- jika seorang lelaki memberi salam kepada gadis remaja maka TIDAK HARUS dia menjawabnya

No. 3- jika seorang gadis memberi salam kepada seorang lelaki maka MAKRUH lelaki tersebut menjawab salamnya.

Wednesday, December 30, 2009

Ops Sayangi Remaja

AlhamduliLlah, setelah kejayaan Ops Sayangi Remaja sempena tahun baru 3 tahun berturut-turut, Urusetia Menangani Gejala Sosial (UNGGAS) Pulau Pinang dengan kerjasama Angkatan Pemuda-pemudi Islam (API) Pulau Pinang sekali lagi menganjurkan Ops Sayangi Remaja 2010 di sekitar tempat terpilih di Pulau Pinang.

Maklumat program adalah seperti berikut:

Tarikh: 31 Disember 2009 (Khamis)

Tempat: Masjid Kubang Buaya, Butterworth, Pulau Pinang

Masa: 6.40 petang

Diharap kepada sesiapa yang berminat untuk sama-sama menyertai program ini datang awal dan mendaftar. Peserta-peserta juga diamanahkan untuk membetulkan niat sebelum menyertai program ini dengan meletakkan tujuan berdakwah kerana Allah SWT semata-mata.

Sila hebahkan program ini kepada sahabat-sahabat yang lain. Sebarang pertanyaan, sila hubungi Nurfitri Amir (013-7069509) atau Azwaahidah (019-4553985) . Harap maklum.

* Pendaftaran adalah WAJIB untuk penyertaan Ops Sayangi Remaja kali ini. Kaunter pendaftaran akan dibuka di Masjid Kubang Buaya pada jam 6.30 petang hingga 9.00 malam sahaja.

Thursday, December 17, 2009

Cekik Anak Sampai Mati

METRO
Oleh Mohd Nur Asnawi Daud

SEREMBAN: Bimbang rahsianya terlanjur dengan teman lelaki terbongkar, seorang wanita didakwa bertindak kejam apabila tergamak mencekik bayi yang baru dilahirkan di sebuah rumah di Labu di sini, sebelum menanamnya di kawasan hutan berhampiran.

Wanita berusia 20-an itu bersalin di rumahnya 9 Disember lalu dan perbuatan kejamnya terbongkar selepas ada individu menghubungi polis untuk memaklumkan kejadian itu kira-kira jam 1 tengah hari, kelmarin.

Harian Metro difahamkan, sepasukan anggota polis yang menerima maklumat bergegas ke tempat kejadian dan cuba mengesan lokasi mayat bayi malang itu ditanam, namun tidak menemuinya.

Selepas melakukan siasatan, polis membawa wanita itu ke hospital untuk menjalani pemeriksaan bagi memastikan sama ada dia bersalin atau sebaliknya.

Bagaimanapun, wanita itu enggan menjalani pemeriksaan dipercayai bagi mengelak tembelangnya menanam bayi berkenaan terbongkar.

Ketua Polis Daerah Seremban, Asisten Komisioner Saiful Azly Kamaruddin, berkata rahsia itu bagaimanapun terbongkar juga apabila penduduk kampung yang mengetahui kejadian itu turut membantu polis melakukan usaha mengesan lokasi mayat bayi malang itu ditanam.

“Akhirnya, penduduk menemui bungkusan kain berbau busuk di belakang rumah terbabit dan memaklumkan kepada polis untuk tindakan lanjut kira-kira jam 7.30 malam kelmarin.

“Polis kemudian menahan wanita yang tidak bekerja itu untuk membantu siasatan,” katanya ketika dihubungi di sini.

Difahamkan, wanita itu mendakwa bersalin ketika hendak membuang air kira-kira seminggu lalu sebelum mencekik dan menanamnya di hutan berhampiran.

Apabila menyedari tembelangnya terbongkar, dia menggali semula mayat bayi itu sebelum mencampaknya di tepi pagar rumah.

Menurutnya, polis masih menjalankan siasatan lanjut mengenai kejadian itu dan wanita terbabit kini direman sehingga Isnin ini bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 309B Kanun Keseksaan kerana kesalahan membunuh anak.

Polis meminta kerjasama orang ramai yang mempunyai maklumat supaya tampil bagi membantu siasatan dengan menghubungi Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Seremban di talian 06-6033222 atau balai polis berhampiran.

Sunday, November 22, 2009

ABJZ sebagai "Pelepas Tanggungjawab"


“Mengapa Cikgu Ct. bersungguh-sungguh, beriya-iya melaksanakan ABJZ ( Anda Bijak Jauhi Zina) di sana sini ? Bagaimana pula Cikgu Ct. menyeimbangkan antara tugasan sebagai seorang isteri dan ibu di rumah, pada masa yang sama sibuk dengan program-program ABJZ ?”. Tak sampai lima minit aku melabuhkan punggung di dalam majlis ilmu di Manarul, tiba-tiba soalan demi soalan diajukan kepadaku. Hemmm… patutlah pun. Aku sepatutnya sampai di situ jam 2.30petang tetapi dengan izin Allah, aku sampai sekitar jam 4.25 petang. Lebih sejam berpusing-pusing sekitar USJ dan Kelana Jaya, mencari lokasi sebenar majlis ilmu diadakan. Walaupun ini bukan kali pertama aku pergi ke lokasi tersebut tetapi aku masih tidak berapa pasti jalan ke sana kerana selalunya aku pergi bersama suamiku.


Tanpa mengetahui tajuk ceramah yang disampaikan, aku terus menjawab. “Jawapan untuk soalan yang pertama : Sebenarnya penglibatan saya dalam ABJZ adalah sebagai pelepas tanggungjawab dari siksaan api neraka semasa bertemu dengan Allah nanti. Jawapan untuk soalan yang kedua pula : “Bantuan dan kerjasama dari suami banyak membantu saya menyeimbangkan antara tugasan rumah tangga dan tugasan dakwah”.

Di dalam surah Al-A’raf ayat 164 Allah berfirman ;

وَإِذَ قَالَتْ أُمَّةٌ مِّنْهُمْ لِمَ تَعِظُونَ قَوْمًا اللّهُ مُهْلِكُهُمْ أَوْ مُعَذِّبُهُمْ عَذَابًا شَدِيدًا قَالُواْ مَعْذِرَةً إِلَى رَبِّكُمْ وَلَعَلَّهُمْ يَتَّقُونَ
"Dan (ingatlah) ketika segolongan di antara mereka berkata: ""Mengapa kamu menasihati kaum yang Allah akan membinasakan mereka atau mengazab mereka dengan azab yang amat keras?" Orang (yang memberi nasihat) itu menjawab: "(Nasihat itu ialah) agar kami mempunyai alasan (pelepas tanggung jawab apabila disoal di akhirat kelak) kepada Tuhan kamu, dan supaya mereka bertaqwa”.

Di dalam Tafsir Ibnu Kathir, ayat ke 164 dalam surah Al-A’raf ini sebenarnya adalah kesinambungan dari ayat-ayat sebelumnya yang menceritakan kisah Bani Israel yang telah diperintahkan oleh Allah untuk beribadat pada hari Sabtu dan mereka dilarang menangkap ikan pada hari tersebut. Ketetapan ini telah disampaikan oleh Nabi dan ia adalah ujian kepada hamba-hambaNya.

Ditakdirkan Allah, pada setiap hari Sabtu terdapat ikan yang sangat banyak sehingga kelihatan melompat-lompat di tepian pantai sedangkan pada hari yang lain, nelayan dari kaum Bani Israel terpaksa menagkap ikan jauh ke tengah laut untuk menangkap ikan.

Dipendekkan cerita, kaum Bani Israel terbahagi kepada tiga golongan. Golongan yang pertama ialah mereka yang akur sahaja perintah Allah, beribadat pada hari Sabtu dan tidak turun menangkap ikan pada hari tersebut. Golongan yang kedua ialah orang-orang Yahudi yang membuat helah dengan membuat penghadang supaya ikan yang datang ketepian pantai pada hari Sabtu, terperangkap dan tidak dapat kembali ke laut. Pada keesokan harinya barulah mereka mengutip hasil tangkapan. Golongan inilah yang melanggar perintah dan larangan Allah dengan tipu helah mereka. Golongan yang tiga pula ialah mereka yang menuruti perintah Allah dan pada masa yang sama memberi peringatan kepada golongan yang kedua akan perlanggaran yang telah mereka lakukan. Mereka juga diperingatkan akan kecelakaan yang menanti atas kesalahan mereka.

"Dan (ingatlah) ketika segolongan di antara mereka berkata: ""Mengapa kamu menasihati kaum yang Allah akan membinasakan mereka atau mengazab mereka dengan azab yang amat keras?" Pertanyaan ini diajukan oleh golongan pertama kepada golongan ketiga yang melaksanakan usaha-usaha nahi mungkar. Jawab kumpulan yang ketiga, "(Nasihat itu ialah) agar kami mempunyai alasan (pelepas tanggung jawab apabila disoal di akhirat kelak) kepada Tuhan kamu, dan supaya mereka bertaqwa”. Begitulah jawapan ikhlas golongan ketiga walaupun sudah jelas, golongan kedua adalah golongan yang ingkar akan perintah Allah dan sengaja melakukan perlanggaran tersebut. Tiada istilah putus asa dalam diri mereka malahan mereka terus berusaha agar ada di kalangan golongan yang ingkar ini, sedar dan bertaubat serta kembali bertaqwa kepada Allah.

Sebenarnya ayat ini telah dibawa ke dalam modul ABJZ oleh master trainer, Ummi Rose. Setiap kali Ummi Rose menyebut ayat ini, setiap kali itulah menggeletar hati ini teringatkan kekuasaan dan kerasnya siksaan Allah. ”Ya Allah, sungguh tinggi kebesaranMu. Sungguh tak sanggup aku melihat kerosakan, kemusnahan harta dan jiwa akibat bencana yang kerap minimpa bertali arus di akhir zaman ini. Sungguh, ia menggambarkan kerasnya azabMu. Ya Aziz, apalah dayaku ...... labih keras lagi siksaMu di neraka jahim. Aku, hambaMu yang kerdil memohon Rahmat dan KasihMu. Ya Ghafur...maafkanlah kesalahan dan dosa mereka. Sesungguhnya mereka jahil akan perintahMu. Berikan aku kekuatan untuk terus istiqamah di jalanMu ini, anugerahkan aku hikmah kebijaksanaan agar kehadiranku mampu menyentuh jiwa-jiwa gersang yang dahagakan kebenaran. Pilihlah dan masukkanlah kami dari kalangan hamba-hambaMu yang bersyukur. Amin ya Rabbal ’Alamin”.


Teringat pula akan lirik melodi yang sungguh menyentuh kalbu khas buat anak-anak yang sering terlupa;

Apa yang dikejar dalam hidupmu,
Berkali ku kata padamu,
Kita singgah di dunia yang sementara,
Penuh tipu daya.....
Yang kekal,
Di sana,
Biarlah kita berSAMA,
Usahlah hanyut,
Terus terlena....kerana dunia..


Cikgu Siti

Monday, November 16, 2009

Usah Sembunyi Kes Suami Perkosa Anak

Usah Sembunyi Kes Suami Perkosa Anak

KUALA LUMPUR: Ibu perlu memainkan peranan penting untuk memberi sokongan dan dorongan kepada remaja perempuan yang menjadi mangsa rogol atau pencabulan oleh ahli keluarga sendiri. Presiden Pertubuhan Wanita Muslim Antarabangsa (Malaysia), Dr Robiah Kulop Hamzah berkata, terdapat ibu yang cuba menyembunyikan kes rogol dan cabul anak sendiri kerana takut menderhaka kepada suami dan ingin menjaga nama baik keluarga masing-masing. “Ibu seharusnya menjadi pelindung anak apabila bapa tidak menjalankan tanggungjawab, malah ibu mempunyai kuasa untuk melaporkan perbuatan sumbang suami kepada pihak berkuasa,” katanya ketika dihubungi semalam. Katanya, ibu yang gagal bertindak dan menafikan hak itu akan menyebabkan anak menjadi murung, mengalami tekanan perasaan, pendiam ataupun bertindak agresif sebagai cara meluahkan tekanan dihadapi mereka.

Robiah mengulas laporan Harian Metro semalam mengenai bapa dan abang kandung yang mencabul darah daging sendiri berusia 13 tahun sejak setahun lalu. Menurutnya, hampir 300 peratus kes rogol dan pencabulan dikendalinya tahun ini dilakukan oleh ahli keluarga sendiri.Kebanyakkan mangsa sukar untuk meluahkan masalah dihadapi diugut oleh pelaku seks yang juga ahli keluarga sendiri seperti mencederakan mangsa, memberhentikan persekolahan atau akan menceraikan ibu jika menyuarakan hal itu.
Metro (Selasa 17 November 2009)

Sunday, October 25, 2009

Tazkirah Remaja: Remaja terjebak berpakaian halal, haram
Sumber Metro 20 Sep 2009

HARI ini nak pakai baju mana ya? Ini soalan yang kita biasa tanya diri kita jika nak keluar bekerja, membeli-belah, menziarahi seseorang dan majlis tertentu, sama ada lelaki atau perempuan, remaja atau yang berusia.

Biasanya kita memilih pakaian yang paling kita suka. Dalam Islam ketika memilih pakaian, kita ada identiti tersendiri. Semuanya kena ambil kira, soal fiqah dan syariat. Sebab pakaian yang kita pakai sangat kuat terikat dengan keyakinan dan iman dalam hati kita. Malah, pakaian adalah lambang keimanan.

Sebabnya Allah sudah berfirman dalam al-Quran yang bermaksud: "Wahai Nabi, suruhlah isteri-isterimu dan anak-anak perempuanmu serta perempuan-perempuan beriman supaya melabuhkan pakaiannya bagi menutup seluruh tubuhnya (semasa mereka keluar) cara demikian lebih sesuai untuk mereka dikenali (sebagai perempuan yang baik) maka dengan ini mereka tidak diganggu. Dan (ingatlah) Allah adalah Maha Pengampun lagi Maha Mengasihi." (al-Ahzab: 59)

Rupanya soal pakaian ada disebut kod dan etikanya dan panduan ini mesti diikuti semua Muslimah.

Berpakaian tak boleh ikut suka kita saja sebab kita hamba Tuhan. Sebagai hamba kena ikut tauke dan kalau tidak ikut juga dah kira lawan tauke.

Kali ini saya ingin menyentuh mengenai pakaian remaja yang nampaknya sudah tidak mengikut kod dan etika al-Quran.

Adik-adik remaja di luar sana sudah tidak menghiraukan lagi halal haram dalam pemakaian, asalkan mereka nampak bergaya, menarik, selesa 'kononnya' dan mengikut gaya fesyen terkini.

Selain pakaian yang jelas menjolok mata, ramai juga di kalangan remaja kita yang berpakaian '2H' iaitu 'Halal' tetapi 'Haram'.

Ini amat ketara jika kita perhatikan di sekeliling kita, ramai remaja yang bertudung. Apabila sekali lihat, memang nampak mereka menutup aurat.

Bagaimanapun, jika diperhatikan, ramai di kalangan mereka yang berpakaian ketat dan tidak kurang yang berlengan pendek. Pakaian lengan 'three quarter' (tiga perempat) paling glamor dan popular di kalangan remaja bertudung.

Suatu ketika dahulu, pakaian sedemikian begitu mengaibkan dan memalukan, namun kini seolah-olah ia menjadi pakaian yang dialu-alukan.

Mana tidaknya, pakaian sedemikian banyak bersangkutan dan berampaian di gedung pakaian di negara kita ini. Pelbagai fesyen baru hadir bagai cendawan tumbuh selepas hujan. Terdapat juga pakaian bersaiz kecil sehingga tidak keterlaluan jika kita katakan sekarang begitu sukar untuk membezakan antara pakaian kanak-kanak dan remaja.

Sebilangan daripada remaja kita juga lupa atau tidak tahu jantina mereka sendiri sehingga si lelaki memakai pakaian perempuan, sementara perempuan pula sebaliknya.

Adik-adik remaja berhentilah daripada kebiasaan ini kerana dilaknat Allah. Ini jelas dinyatakan dalam sebuah hadis Rasulullah s.a.w yang bermaksud:

"Sesungguhnya Allah melaknat lelaki yang menyerupai wanita dan wanita yang menyerupai lelaki."

Ada pula yang berkata: "Berpakaian menutup aurat dan bertudung, nanti tak cantik." Siapa kata tak cantik kalau bertudung, bahkan kelihatan manis, beradab, bersih dan ada gaya tersendiri, sekali gus membezakan antara Muslimah dan bukan Islam.

Ada pula yang berkata, rambut adalah 'mahkota', jadi kenalah tunjuk. Kata-kata itu sangat tidak betul kerana jika rambut mahkota, kenalah simpan baik-baik.

Mengapa kena simpan? Ini kerana raja dan permaisuri pun hanya pakai mahkota di tempat tertentu saja, tak dibawanya ke pasar, kelab malam, padang dan lain-lain tempat, malah di tempat tertentu dan orang tertentu sahaja.

Tunjuklah mahkota itu pada suami tercinta sahaja, bukannya dikongsi dengan orang lain.

Ada pula yang berkata 'ikut fesyen moden dengan seksi dan terdedah senang pikat lelaki dan dapat kekasih.'

Aduhai remaja, jangan rendahkan martabat kita sebab bimbang nanti lelaki akan mempermainkan anda. Kerap berlaku kes 'dapat manis sepah dibuang' iaitu jadi bahan seronok saja.

Kalau dapat kahwin pun tak lama putus di tengah jalan. Rumah tangga dibina akhirnya tinggal tangga sahaja. Ingatlah, pakaian ahli syurga ialah menutup aurat.

Aurat Lelaki Sering Diremehkan

|
Aurat Lelaki Sering Diremehkan
Oleh Ustaz Ahmad Baei Jaafar

Aurat lelaki seperti yang dinyatakan sebelum ini agak longgar kerana selain waktu bersendiri dan bersama isteri, aurat lelaki hanya antara pusat dan lutut sahaja. Maknanya kalau seseorang itu hendak melakukan solat, auratnya ialah cukup antara pusat dengan lutut, begitu juga kalau dia berada di khalayak ramai.

Berdasarkan itu, ramailah orang lelaki dengan menyatakan harus kita berada dalam sesuatu majlis dengan hanya mengambil mudahmemakai seluar pendek sampai ke paras lutut. Sebab itulah barangkali kita sering melihat orang lelaki suka memakai seluar pendek ketika membasuh kereta di luar rumah.

Benar, jika mengikut hukum asal tidak salah memakai seluar pendek yang sampai ke paras lutut kerana itulah sahaja aurat bagi lelaki. Tetapi jangan lupa bahawa hukum itu perlu juga mengambil kira waktu berjalan dan duduk. Apakah ketika itu aurat lelaki tersebut masih terpelihara?

Bayangkan seorang lelaki yang hanya memakai kain sarung yang menutup pusatnya dan lutut. Solatnya sah kerana aurat bagi lelaki dalam solat ialah antara pusat dengan lutut. Tetapi bagaimana kalau dia rukuk, sujud, dan duduk antara dua sujud? Tidaklah lututnya ternampak? Sahkah solatnya ketika itu? Jawapannya ialah tidak sah.

Bagaimanapun pula kalau dia membasuh kereta dengan pakaian yang sama, sesekali dia akan tunduk juga. Adakah ketika itu tidak terbuka auratnya iaitu lutut? Kalaupun dia memakai seluar pendek yang labuh hingga ke paras lutut, waktu dia mencangkung akan ternampak lututnya. Tidak berdosakah dia ketika itu? Jawabnya tentu berdosa. Ya, kalau dalam solat tidak sah maka pada ketika waktu lain dia berdosa.

Bagi masyarakat kampung pula, mereka suka pakai kain pelakat yang digulung sampai ke paras lutut. Malah kadang-kadang ternampak pusatnya sewaktu terlondeh. Waktu berborak dengan kawan-kawan di serambi pasti tersingkap juga auratnya.

Bagaimana kalau dia melakukan solat dengan kain itu walaupun dilabuhkan di bawa lutut? Waktu rukuk dan sujud setidak-tidaknya akan ternampak pahanya oleh orang yang di belakangnya. Sahkah solatnya?

Begitu juga kalau si ayah memakai kain pelakat di dalam rumah bersama anak-anak, lalu pada waktu duduk terselak bahagian lututnya. Agaknya berdosa atau tidak ketika itu? Jawapannya sudah tentu berdosa kerana aurat ketika bersama mahram ialah antara pusat dengan lutut.

Kalau berdasarkan keterangan di atas adalah haram hukumnya, bagaimana keadaannya anak-anak muda yang suka memakai seluar pendek di dalam rumah, bersukan, main bola dan sebagainya? Seluar pendek yang dipakai mereka adalah di atas lutut, maka dalam keadaan itu dia bukan sahaja mendedahkan lututnya malah mendedahkan pahanya.

Nampaknya lelaki secara berleluasa mendedahkan aurat mereka tatkala bersukan. Apakah atas alasan bersukan aurat boleh didedahkan? Ya, kalau berhadapan dengan Allah sewaktu bersolat pun salah, betapa ketika berhadapan dengan orang ramai. Pada zaman ini, bukan sahaja orang yang dalam stadium yang melihatnya tetapi seluruh dunia melihatnya. Bayangkan berapa besar dosanya ketika itu.

Pakaian sukan tajaan Barat memang begitu. Hal ini kerana dalam teori sains, mereka yang memakai pakaian longgar dan menutup tubuh boleh melambatkan pergerakan. Tetapi teori itu ternyata tidak tepat apabila pelari pecut wanita Islam (dari Bahrain) dapat mengalahkan pelari lain yang hanya sekadar memakai cawat dalam sukan bertaraf dunia baru-baru ini.

Selain itu, kalau benarlah teori itu, mengapa perlu pakaian itu diperkenalkan kepada pemain boling. Sukan itu tidak memerlukan pergerakan pantas. Barat menipu kita dan kita hanya menurut sahaja tanpa mahu membantah. Kita akur dengan peraturan itu demi sukan padahal kita belum berani berbincang secara serius untuk mohon pengecualian bagi atlet Muslim.

Bayangkan sudah berapa lama umat Islam melakukan dosa mendedahkan aurat dalam bidang sukan. Jika dalam hal ini kita sudah berdosa dengan Allah, bagaimana usaha kita untuk membentuk perpaduan melalui sukan seperti yang sering diuar-uarkan. Mahukah Allah merestuinya?

Pada pandangan penulis, cara berpakaian dalam sukan itulah yang menjadi sebab mengapa kurang penyertaan orang Islam dalam sukan. Sebenarnya mereka masih berminat untuk bersukan tetapi mereka tiada pilihan untuk bersukan. Akhirnya sukan dikuasai oleh orang bukan Islam.

Dalam hal ini, alangkah baiknya jika kita yang mulakan usaha menutup aurat ketika bersukan.

Sunday, October 18, 2009

Bayi ditemui atas wakaf masjid

Oleh Khairul Anuar Abdul Samad
krull@bharian.com.my


KEADAAN bayi lelaki dilahirkan tidak cukup bulan yang ditinggalkan di wakaf Masjid Telipot, di Kota Bharu, semalam.

Diselimuti dengan kain tudung buruk

KOTA BHARU: Jemaah Masjid Telipot, dekat sini, gempar, apabila seorang bayi lelaki dilahirkan tidak cukup bulan dan masih hidup yang dibungkus dalam kain tudung, ditinggalkan di atas sebuah wakaf dalam kawasan masjid berkenaan, pagi semalam.

Penjaga masjid itu, Ali Abdullah, 65, berkata beliau terkejut dengan penemuan bayi masih bertali pusat itu, kerana ketika membuka pintu pagar masjid pada jam 5 pagi dan selepas solat Subuh, beliau tidak melihat sebarang perkara aneh di kawasan masjid itu.

Katanya, beliau hanya mengetahui kejadian itu selepas kembali semula ke masjid dari menghadiri satu majlis bercukur bayi di Desa Telipot, berhampiran masjid itu, kira-kira jam 8 pagi, apabila melihat ramai jemaah masih belum pulang, berkumpul di wakaf berkenaan.

"Ketika memulakan tugas pada jam 5 pagi dan selesai solat Subuh, saya tidak melihat benda aneh di wakaf berkenaan. Namun, apabila pulang dari majlis bercukur bayi, saya terkejut apabila diberitahu ada bayi ditinggalkan di atas wakaf masjid.

"Saya membuat pemeriksaan terhadap tandas di masjid ini, tetapi tiada kesan darah dan percaya perbuatan ini dilakukan penduduk luar dari kawasan ini.

"Polis yang dihubungi kemudian membawa bayi berkenaan ke Hospital Raja Perempuan Zainab II (HRPZ II) untuk rawatan lanjut. Saya berharap manusia kejam tergamak melakukan perbuatan meninggalkan bayi ini, diberi petunjuk sewajarnya tidak lama lagi," katanya.

Sementara itu, seorang pencuci masjid itu, Khatijah Yazid, 51, berkata sepasang suami isteri berusia lingkungan 50-an, yang menunggu seorang rakan berhampiran wakaf masjid itu menemui bayi berkenaan.

Beliau berkata, kerana terlalu lama menunggu, wanita berkenaan berasa letih dan mahu berehat di atas wakaf berkenaan. Bagaimanapun, beliau terkejut selepas melihat ada bungkusan di situ.

"Wanita itu membuka bungkusan berkenaan dan terkejut apabila mendapati ada bayi di dalamnya yang hanya diselimuti selendang buruk," katanya.

Ketua Polis Daerah, Asistan Komisioner, Zahruddin Abdullah, berkata bayi itu dijumpai jam 7.30 pagi oleh seorang pesara kerajaan yang ketika itu menunggu kawannya di wakaf berkenaan.

Sementara itu, sumber HRPZ II ketika dihubungi berkata, bayi berkenaan dimasukkan ke hospital itu jam 9 pagi dan kini ditempatkan di wad 2 untuk rawatan lanjut dan dilaporkan stabil.

"Bayi berkenaan dilahirkan tidak cukup bulan dengan beratnya hanya satu kilogram. Bayi itu kini ditempatkan dalam inkubator dan dilaporkan stabil," katanya. Beliau kemudian mendengar tangisan bayi dan melihat bayi yang diselimuti selendang buruk.

"Bayi berkenaan dipercayai dilahirkan tiga jam sebelum ditemui dan kini dirawat di HRPZ II," katanya.

Sementara itu, sumber HRPZ II ketika dihubungi, berkata bayi berkenaan dimasukkan ke hospital itu jam 9 pagi dan kini ditempatkan di wad 2 untuk rawatan lanjut dilaporkan stabil.